RM320 sahaja I Korban & Aqiqah di Kemboja I Nur Hijrah Korban

Ibadah korban bermaksud; menyembelih binatang ternakan pada hari raya korban (10 dzulhijjah) dan hari-hari tasyriq (11, 12 & 13 dzulhijjah) dengan niat mendekatkan diri kepada Allah.

Hukum ibadah korban ialah sunat muakkad. Ibadah sunat ini menjadi wajib jika dinazarkan.

*Sunat muakkad bermasud sunat yang amat dituntut dan sangat-sangat digalakkan.

Dalil Qurban dalam Al-Qur’an Allah telah mensyariatkan korban sebagaimana firman-Nya: إِنَّا أَعْطَيْنَاكَ الْكَوْثَرَ * فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ * إِنَّ شَانِئَكَ هُوَ الْأَبْتَرُ

 

Sesungguhnya, Kami telah memberimu (Muhammad) nikmat yang banyak. Maka laksanakanlah solat kerana Tuhanmu, dan berqurbanlah. Sungguh, orang-orang yang membencimu adalah orang-orang yang terputus. (QS. Al-Kautsar : 1-3) وَالْبُدْنَ جَعَلْنَاهَا لَكُمْ مِنْ شَعَائِرِ اللَّهِ لَكُمْ فِيهَا خَيْرٌ فَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ

 

Dan unta-unta itu Kami jadikan untukmu sebahagian dari syiar agama Allah, kamu banyak memperoleh kebaikan padanya. Maka sebutlah nama Allah (ketika kamu akan menyembelihnya)… (QS. Al-Hajj : 36)

 

Maksud kata ‘nahr’ adalah penyembelihan binatang korban sebagaimana keterangan dalam sebuah hadits bahwa Nabi SAW melakukan ibadah qurban dan begitu juga kaum muslimin. Para ulama telah sepakat (ijma’) akan pensyariatannya

Masa ibadah korban bermula apabila terbit matahari pada hari raya korban (10 zulhijjah). Namun paling baik dilewatkan sedikit hingga matahari naik segalah dan selepas selesai solat hari raya. Masa penyembelihan ibdah korban ialah pada (10 Dzulhijjah) dan hari-hari tasyriq (11, 12 & 13 Dzulhijjah).

Syarat-syarat bintang korban ialah:

 

1) Binatang ternakan yang sah dibuat korban ialah; biri-biri (berumur genap 1 tahun), kambing (genap 2 tahun), lembu (genap 2 tahun), kerbau (genap 2 tahun) dan unta (genap 5 tahun).

 

2) Seekor biri-biri dan kambing hanya untuk seorang. Adapun lembu, kerbau dan unta harus dikongsi tujuh orang.

 

3) Disyaratkan binatang tidak cacat dengan nyata. Menurut hadis; tidak sah korban dengan binatang yang buta sebelah matanya, yang tempang, yang nyata sakitnya dan yang terlalu kurus (Musnad Ahmad; 18510, isnadnya soheh).

 

4) Sunat memilih binatang korban yang paling elok. Lagi elok, lagi sempurnalah pahalanya.

Fadhilah ibadah korban ialah:

 

1) Amalan yang paling disukai Allah – Sabda Nabi SAW; “Tidak ada amalan yang paling disukai Allah pada hari raya korban melebihi dari menyembelih korban. Binatang korban akan datang pada hari kiamat dengan tanduknya, kuku-kukunya dan bulu-bulunya” (Sunan at-Tirmizi; 1496, hasan).

 

2) Kebajikan – Sabda Nabi SAW; “Bagi setiap helai bulu binatang korban satu kebajikan” (Sunan Ibnu Majah; 3127, dhaif).

 

3) Keampunan dari Allah – Titisan darah qurban yang pertama adalah merupakan pengampunan bagi dosa-dosa yang telah lalu iaitu sebagai penebus dosa yang telah dilakukan.‘Imran bin Hushain R.A bersabda kepada Sayyidatuna Fatimah R.A: meriwayatkan bahawa Rasulullah telah bersabda yang Maksudnya: “Wahai Fatimah! Pergilah ke tempat (penyembelihan) qurbanmu dan saksikanlah ia, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu adalah merupakan pengampunan bagimu di atas dosa-dosamu yang telah lalu.”(Hadis riwayat al-Hakim)

Maksud aqiqah ialah sembelihan binatang an’am yang dilakukan kerana meyambut kanak-kanak yang baru dilahirkan sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT. *binatang an’am iaitu binatang ternakan termasuk unta, lembu, kerbau, biri-biri, kibas dan kambing.

Hukum aqiqah ialah sunat muakkad kecuali dinazarkan menjadi wajib.

وَعَنْ سَمُرَةَ رضي الله عنه أَنَّ رَسُولَ اَللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ: ( كُلُّ غُلَامٍ مُرْتَهَنٌ بِعَقِيقَتِهِ, تُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ سَابِعِهِ, وَيُحْلَقُ, وَيُسَمَّى ) رَوَاهُ اَلْخَمْسَةُ, وَصَحَّحَهُ اَلتِّرْمِذِيّ

 

Ertinya : Dari Samurah Radliyallaahu ‘anhu bahwa Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam bersabda: “Setiap anak tergadaikan dengan aqiqahnya; ia disembelih hari ketujuh (dari kelahirannya), dicukur, dan diberi nama.” (Riwayat Ahmad dan Imam Empat. Hadits shahih menurut Tirmidzi).

Penyembelihan aqiqah sunat dilaksanakan pada hari ketujuh dari kelahiran bayi atau pada hari ke empat belas atau ke dua puluh satu. Jika tidak dapat maka bila-bila masa selagi anak itu belum baligh.

Anak lelaki disembelihkan dua ekor kambing (tetapi sah sekiranya seekor) dan perempuan memadai dengan seekor kambing.

 

Diriwayatkan daripada Aisyah, bahawa Rasulullah SAW memerintahkan para sahabat agar menyembelih aqiqah untuk anak lelaki dua ekor kambing yang umurnya sama dan untuk anak perempuan seekor kambing. (Riwayat al-Turmuzi). Daripada Ibnu Abbas r.a. pula menyatakan. bahawa Rasullullah s.a.w. menyembelih aqiqah untuk Hasan dan Husin masing-masing dengan seekor kambing. (Riwayat Abu Dawud).

 

Sekiranya disembelihkan lembu, anak lelaki afdhalnya 2 bahagian dan anak perempuan 1 bahagian lembu.

Aqiqah Menurut Syaikh Abdullah Nasih Ulwan dalam kitab Tarbiyatul Aulad Fil Islam sebagaimana dibahaskan oleh ulama-ulama yang lain ialah:

 

1) Menghidupkan sunnah Nabi Muhammad.

 

2) Dalam aqiqah ini mengandungi unsur perlindungan dari syaitan yang dapat mengganggu anak yang lahir itu, dan ini sesuai dengan hadith yang bermaksud: “Setiap anak itu tergadai dengan aqiqahnya.” Hal inilah yang dimaksud oleh Al Imam Ibnu Al Qayyim Al Jauziyah “bahwa lepasnya dia dari syaitan tergadai oleh aqiqahnya”.

 

3) Aqiqah merupakan tebusan hutang anak untuk memberikan syafaat bagi kedua orang tuanya kelak pada hari perhitungan. Sebagaimana Imam Ahmad mengatakan: “Dia tergadai dari memberikan Syafaat bagi kedua orang tuanya (dengan aqiqahnya)”.

 

4) Merupakan bentuk taqarrub (pendekatan diri) kepada Allah SWT sekaligus melahirkan kesyuukuran atas kurnia dan rezeki yang dianugerahkan Allah SWT dengan lahirnya si anak.

 

5) Aqiqah sebagai cara untuk memperlihatkan rasa gembira dalam melaksanakan syari’at Islam & bertambahnya keturunan mukmin yang akan memperbanyak umat Rasulullah SAW pada hari kiamat.

 

6) Aqiqah memperkuat ukhuwah (persaudaraan) di kalangan masyarakat.

Disediakan oleh:

Ustazah Jamilah binti Mokter
(Lulusan Ijazah Sarjana Muda Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Warisan Islam

(Fiqh dan Usul Fiqh) UIAM).

Disemak oleh:

Ustaz Syafie bin Yusof @ Sos Saphiy
(Lulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah Universiti Al-Azhar, Mesir)
(Lulusan Sarjana (MA) Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Warisan Islam (Fiqh dan Usul Fiqh) UIAM).